Thursday, April 16, 2009

Kreativiti pelajar UMT



ini adalah berita dalam KOSMO semalam.. oleh kerana aku pun budak marketing kat UMT @KUSTEM dulu so aku berbangga lah ngan junior2 aku nih.En.Semanat tu lecturer aku masa aku amik management marketing dulu.Terima kasih atas ilmu yg di curahkan..

Kreativiti pelajar UMT
Dalam anugerah ini, sebanyak 27 iklan telah dipersembahkan oleh para pelajar universiti berkenaan.
JUARA kumpulan iklan Adidas, Mohd. Saufiq (tengah) diapit oleh Pei Yee (kiri) dan Lee Fong (kanan) bersama anugerah masing-masing di UMT, Kuala Terengganu.
PAPARAN mengenai kisah seorang pelajar sekolah yang teringin membeli sepasang kasut bola sepak dipilih sebagai iklan terbaik pada Majlis Anugerah Iklan (MAI) 2009 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu baru-baru ini.
Klip video yang dihasilkan oleh tiga pelajar Jabatan Pengurusan dan Pemasaran, Mohd. Saufiq Ghazali, Ong Pei Yee dan Tan Lee Fong itu menewaskan 26 iklan lain yang turut dipertandingkan.
Menurut Mohd. Saufiq, mereka memilih untuk mempromosikan jenama Adidas di dalam klip video iklan yang memakan masa 2 minit 34 saat itu.
Katanya, kerja-kerja mengarah dan menghasilkannya dibuat selama dua minggu selepas idea asalnya beberapa kali diubah mengikut kesesuaian.
"Saya tidak sangka iklan yang kami hasilkan ini dipilih sebagai pemenang kerana persaingan kali ini sangat sengit. Ini kerana saya lihat banyak lagi iklan-iklan lain yang tidak kurang menariknya berjaya dihasilkan," katanya kepada Kosmo!.
Beliau yang gembira dipilih sebagai pemenang berkata, kemenangan itu sedikit sebanyak membantunya meningkatkan Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang dikumpulnya sepanjang semester pengajian.
Lebih membanggakan, pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) yang bertindak sebagai ketua kumpulannya turut diumumkan sebagai Pengarah Iklan Terbaik.
Majlis kali kedua yang diadakan ini, antara lain bermatlamat memenuhi keperluan asas subjek Komunikasi Pemasaran (PGN 4309) untuk pelajar tahun akhir.
Pada tahun ini, pertandingan tersebut diadili oleh pensyarah Jabatan Komunikasi dan Bahasa, Fakulti Pengurusan Ekonomi, Mohammad Mahdi Abas; Pengarah Teater Kelab Budaya UMT, Saripuddin Marzuki dan wartawan eksekutif Kosmo!, Haradian Shah Hamdan.
Dalam anugerah itu, sebanyak 27 iklan telah dipersembahkan oleh para pelajar universiti berkenaan.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik pasukan CIMB Cliks dan SSPN, manakala iklan Vicks dan Pati Ayam Brand Merah di tempat keempat dan kelima.
Penyelaras program, Semanat Abu Bakar berkata, MAI 2009 diadakan bagi menggalakkan pelajar berfikiran kreatif dan kritis serta berdaya saing.
Menurutnya, ia turut merangsang pelajar mempraktikkan apa yang dipelajari di bilik kuliah kepada tugasan kursus yang diberikan di luar bilik kuliah.
"Dengan adanya pertandingan seumpama ini, kami dapat mencungkil bakat pelajar dalam menghasilkan filem iklan dan dokumentari yang bermutu," katanya.
Beliau menegaskan, pelajar perlu mempelbagaikan kemahiran terutamanya dalam akademik dan bidang lain sebagai persiapan menghadapi alam pekerjaan setelah tamat belajar kelak.
"Anugerah ini juga membantu mewujudkan semangat kerja berpasukan serta menjadi perintis kepada generasi masa depan untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan,'' tambahnya.
Dalam pada itu, Pengarah Program, Mohammad Radzi Ramli memberitahu, proses penilaian dilakukan dalam masa dua hari dan melibatkan tiga juri khas.
"Panjang setiap iklan tidak boleh melebihi tiga minit manakala tempoh minimumnya adalah 1 minit 30 saat.
"Iklan yang mudah difahami, ada unsur tidak diduga, pujukan yang kuat, berjaya memainkan emosi penonton, kreatif dan gaya bahasa yang menarik menjadi antara aspek yang dinilai juri," katanya.
Katanya, sehari sebelum MAI 2009 berlangsung, ketiga-tiga juri telah meluangkan masa lebih enam jam untuk menonton dan menilai kesemua 27 klip video iklan tersebut. - NORZASRUDIN MOHAMED NOR

No comments:

Post a Comment